Saturday, January 11, 2014

MALAYSIA ADALAH NEGARA ISLAM


Peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia:

Perlembagaan Malaysia jelas memberikan kedudukan yang istimewa kepada Islam. Ini dapat dilihat seperti berikut:

i.     Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 3(1) dalam perlembagaan ini telah dihuraikan oleh beberapa tokoh undang-undang di Malaysia. Ada yang berpendapat peruntukan itu sekadar menjelaskan bahawa upacara rasmi negara bolehlah dijalankan mengikut Islam. Namun demikian Almarhum Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim telah menegaskan bahawa dengan adanya peruntukan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, maka Malaysia boleh memperkenalkan dirinya sebagai negara Islam.

ii.    Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam.
iii. Urusan pentadbiran Islam menjadi tanggunjawab Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Pandangan Ulama Mutabar:
i. Memahami dan mengetahui pandangan beberapa ulama mengenai konsep negara Islam sangat penting, kerana kekeliruan dan keengganan untuk mengakui Malaysia Negara Islam adalah berpunca dari keengganan menerima pandangan-pandangan ini. Sebenarnya konsep negara Islam tidak terdapat di dalam nas yang jelas dari Al-Quran dan Al-Sunnah.

ii. Konsep negara Islam hanya dibincangkan oleh ulama-ulama terkemudian. Jadi ia termasuk dalam perkara-perkara ijtihadiyyah iaitu hasil kefahaman ulama yang berkenaan mengenainya.

iii. Ada berbagai difinisi yang diberikan oleh ulama mengenai negara Islam ini antaranya:

- Muhammad bin Hasan as-Syaibani menyatakan :

Negara yang dikuasai dan diperintah oleh umat Islam dan orang-orang Islam menikmati keamanan dan keselesaan di dalamnya.

- Muhammad Abu Zuhrah menjelaskan:

Negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Kekuatan dan pertahanannya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim.

- Menurut dari. Mohammad Said Ramadhan al-Butiy ketika membuat kesimpulan mengenai berbagai definisi negara Islam beliu menjelaskan bahawa pelaksanaan hukum-hukum syariah Islamiyyah bukanlah menjadi syarat untuk mengiktiraf sesebuah negera itu sebagai negara Islam.

iv. Ini bermakna anggapan oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa pelaksanaan hukum hudud menjadi syarat bagi mengiktiraf sesebuah negara sebagai negara Islam adalah tidak tepat dan bercanggah dengan pegangan umum ulama mutabar.

v. Dengan mengambil kira kepelbagaian difinisi tersebut dan keadaan yang wujud di Malaysia, maka konsep negara Islam dapatlah disimpulkan sebagai berikut:

Negara Islam itu ialah negara yang dipimpin oleh orang Islam, dan orang Islam boleh melaksanakan tanggungjawab agamanya dengan aman, termasuklah memberi kebebasan kepada orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing. Dan setiap rakyat wajib mempertahankannya.

vi. Berdasarkan penjelasan yang diberikan nyatalah bahawa Malaysia Negara Islam kerana ciri-ciiri utama yang ditetapkan oleh ulama wujud dan terlaksana di Malaysia.

Pengiktirafan dunia:
i.     Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam dan telah menganggotai O.I.C sejak mula lagi.
ii.    Pengiktirafan Malaysia Negara Islam contoh diberikan oleh negara Islam dan bukan Islam diseluruh dunia.

Pelaksanaan Pentadbiran Negara:
i. Asas pentadbiran Malaysia hari ini selaras dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, dalam bidang perundangan berbagai usaha telah dijalankan untuk menyelaraskan antara undang-undang sivil dan syarak. Dalam bidang muamalat dan ekonomi terdapat sistem baru yang selaras dengan ajaran Islam telah dilaksanakan seperti Sistem Perbankan Islam, Takaful, Al Rahn dan sebagainya.

ii. Selain dari itu dalam bidang pendidikan juga tidak ketinggalan disepadukan antara tuntutan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Malah asas pembentukan syahsiah pegawai dan kakitangan kerajaan adalah dari nilai-nilai murni Islam.

iii. Kesungguhan kerajaan menghayati ajaran Islam dapat dilihat dalam usaha-usahanya membebaskan umat Islam dari belenggu khurafat, tahayul dan ajaran sesat, dengan sentiasa memberikan penjelasan dan penerangan menerusi berbagai media. Di samping itu kerajaan juga sentiasa mengambil berat mempastikan makanan dan barang gunaan umat Islam di negara ini halal dan suci. Malah Malaysia merupakan negara Islam terulung dan terkemuka dalam menjaga aqidah, syariah dan akhlak umat Islam di dunia hari ini.

iv.Antara bukti lain yang paling jelas menunjukkan Malaysia Negara Islam ialah penubuhan berbagai institusi yang berkaitan dengan pentadbiran Islam khususnya penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Mufti.

Muzakarah Fatwa:
i.     Setelah mengambil kira berbagai pandangan, hujah dan keadaan yang wujud di Malaysia, serta akibat buruk dari penolakan Malaysia sebagai negara Islam, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3-4 Februari 1986 telah mengambil keputusan bahawa Malaysia Adalah Sebuah Negara Islam.

ii.     Kenyataan ini dengan jelas menolak anggapan kononnya Malaysia negara sekular kerana ciri-ciri sekularisma yang bermatalamatkan keduniaan semata sebagaimana yang difahami tidak wujud dalam falsafah dan pengurusan pentadbiran negara serta pegangan hidup rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Wednesday, March 27, 2013

MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH TERHADAP PEMIMPIN WALAUPUN YANG ZALIM


Artikel ringkas ini akan cuba menjelaskan manhaj yakni kaedah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam bermuamalah atau berhubungan dan bergaul dengan pemimpin yang zalim. Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) meletakkan permasalahan berkenaan pemimpin ini dalam bab akidah melambangkan betapa pentingnya isu kepimpinan ini sekaligus menafikan dakwaan bahawa Islam adalah agama sekular yang mengasingkan agama daripada politik. Fahaman sekular amat menyeleweng daripada akidah Islam kerana Islam melihat politik sebagai masalah akidah yang perlu dipelihara. Pemahaman politik yang terkeluar daripada manhaj ASWJ akan melahirkan kesesatan dalam perkara akidah. Sebagai contoh ajaran Syiah Rafidah yang bukan sekadar sesat bahkan kafir adalah berpunca daripada pergolakan politik. Selain itu, masalah bagaimana kita perlu bermuamalah dengan pemimpin muslim yang zalim juga termasuk dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ (Cinta dan Benci kerana Allah)  yang merupakan ikatan iman yang paling teguh.
Pemimpin yang muslim yang melakukan kezaliman termasuklah dalam kategori kedua manusia dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ iaitu mereka yang berhak mendapat al-wala’ (kesetiaan) dan al-Bara’ (berlepas diri) sekaligus.  Berikut kita jelaskan noktah-noktah penting dalam manhaj ini:

Pertama: Mentaati Pemerintah Adalah Wajib ‘Ain
Mentaati pemerintah kaum muslimin yang beragama Islam adalah fardu ‘ain berdalilkan firman Allah s.w.t dalam surah alp-Nisaa ayat ke-59:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
Kewajipan taat kepada pemimpin kaum muslimin adalah perkara ijmak dalam kalangan ASWJ bahkan para ulama juga telah ijmak wajibnya memerangi kaum bughah yakni mereka yang menentang pemimpin Islam secara bersenjata.
Kedua: Haram Mentaati Perintah Yang Maksiat
Demikian juga telah ijmak ulama haram terhadap muslim mengikut perintah pemimpin yang membawa kepada maksiat. Ini berdasarkan ayat di atas (surah al-Nisaa: 59) yang mengqaidkan (mengikat) ketaatan kepada pemimpin itu dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. Demikian juga sabda Rasulullah s.a.w:
إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Ketaatan itu sesungguhnya hanya dalam perkara makruf” [Muttafaq 'Alaih].
Dan sabda Nabi s.a.w:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
Maksudnya: “Dengar dan Taat itu wajib atas setiap muslim dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak disuruh melakukan maksiat maka apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat” [Muttafaq 'alaih].
Antara contoh dalam tidak mentaati perkara maksiat adalah sebagaimana hadis dalam sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa seorang panglima perang yang dilantik Rasulullah s.a.w dalam satu sariah memerintahkan para prajuritnya untuk masuk dalam api lalu mereka semua enggan. Sehingga akhirnya kemarahan panglima mereka reda dan api pun  padam, mereka pulang ke Madinah dan mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata: “Jika kamu masuk ke dalamnya tentulah kamu tidak akan keluar lagi, sesungguhnya taat itu hanya dalam perkara makruf”.
Ketiga: Wajib Menasihati Pemimpin Yang Zalim.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih lagi masyhur:
الدين النصيحة قلنا لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم 
Maksudnya: “Agama itu adalah Nasihat”. Kami (Sahabt) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”.[Muslim]. Dan sabda Nabi s.a.w:
أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر
Maksudnya: “Jihad yang Afdal adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang zalim” [Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad dan hadisnya sahih]. Nasihat kepada pemimpin itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin depan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t:
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (44)
Maksudnya:  “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. [Taha: 43&44].
Istidlalnya adalah jika kepada Firaun yang kafir pun Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s bercakap secara lemah lembut maka lebih utama lagi dilakukan kepada pemimpin Islam. Sabda Nabi s.a.w:
من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه
Maksudnya: “sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi pegnaglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Ahmad, sahih].
Dalam hadis ini menjelaskan wajibnya menasihati pemimpin dan wajib pula melakukannya dengan cara yang baik. Dalam sebuah riwayat dinyatakan:
عن زياد بن كسيب العدوي قال كنت مع أبي بكرة تحت منبر ابن عامر وهو يخطب وعليه ثياب رقاق فقال أبو بلال : أنظروا إلى أميرنا يلبس ثياب الفساق فقال أبو بكرة اسكت سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول من أهان سلطان الله في الأرض أهانه الله
Maksudnya: Daripada Ziyad bin Kasib al-Adwi katanya: Aku bersama Abu Bakrah di bawah minbar Ibn Amir ketika dia sedang berkhutbah dengan memakai pakaian yang nipis maka berkata Abu Bilal: ‘Lihat pemimpin kita itu, dia memakai pakaian orang fasiq’. Maka berkata Abu Bakrah r.a: Diamlah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [al-Tarmizi, sahih].
Oleh itu, jelas sekali dalam manhaj Syarak yang benar, perbuiatan berdemonstrasi dan protes jalanan membantah pemimpin yang zalim adalah maksiat dan perbuatan itu hanyalah menambah dosa atas dosa semata-mata.  Abu Ishaq al-Sabi’i r.h, daripada pembesar ulama Tabiin berkata:
ما سب قوم أميرهم، إلا حرموا خيره
Maksudnya: “Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani].

Keempat: Haram Memberontak dan Menggulingkan Pemerintah Yang Zalim
Walaupun disuruh kita tidak mengikuti perintah yang berunsur maksiat, namun pemimpin yang menyuruh melakukan maksiat atau melakukan maksiat hanya wajib dinasihati secara baik dan tidak boleh digulingkan dengan kekerasan atau menderhaka kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w: Dalilnya hadis Muslim dan Ahmad berikut:
عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة )
Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.
Hadis ini tidaklah menunjukkan bolehnya melaknat pemimpin kerana tidak boleh sama sekali melaknat seseorang muslim tetapi melaknat amalan pemimpin tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w:
(ستكون أمراء فتعرفون وتنكرون فمن عرف برئ ومن نكر سلم ولكن من رضي وتابع ) قالوا أفلا نقاتلهم ؟ قال ( لا ما صلوا )
Maksudnya: “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana ianya maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad].
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
( يكون بعدي أئمة لا يهتدون بهداي ولا يستنون بسنتي وسيقوم فيهم رجال قلوبهم قلوب الشياطين في جثمان إنس ) قال قلت كيف أصنع ؟ يا رسول الله إن أدركت ذلك ؟ قال ( تسمع وتطيع للأمير وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك فاسمع وأطع )
Maksudnya: “Akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak mengikut sunnahku dan akan ada dalam mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan berbadan manusia”. Kata Huzaifah:’Aku bertanya: Maka bagaimana aku harus lakukan wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: “Kamu dengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia menyebat belakangmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah”. [al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].
Sabda Rasulullah s.a.w:
مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
Maksudnya: “Sesiapa yang membenci akan perbuatan pemimpinnya (yang maksiat) maka bersabarlah kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar menentang pemerintah sejengkal lalu mati, maka dia mati sebagai orang jahiliah”. [al-Bukhari & Muslim]
Syarat untuk keluar memberontak adalah apabila pemimpinnya menjadi kafir maka ketika itu wajib atas kaum muslimin melucutkan jawatannya dengan cara yang paling elok dan jika tidak ada jalan lain melainkan perang maka hendaklah berperang jika tidak hendaklah mereka berhijrah. [Syarah Tahawiyah min Kalam Ibn Taimiah, 86&87].


Ini sebagaimana sabit dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit r.a katanya:
دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w memanggil kami lalu baginda mengambil baiat daripada kami dan antara yang baginda syaratkan adalah dengar dan taat (pada pemimpin) dalam perkara yang kami suka dan benci (selagi bukan maksiat), dalam keadaan senang dan susah kami dan dalam perkara yang merugikan kami dan janganlah kami menandingi hak ahlinya melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang padanya kamu mempunyai dalil di hadapan Allah nanti”.
Berkata al-Qadi ‘Iyadh r.h:
لو طرأ عليه الكفر انعزل
Maksudnya: “Jika dia (pemimpin) menjadi kafir (nauzubillah min zalik) maka dia terlucut jawatan..” [Syarah Sahih Muslim li al-Nawawi, 12/229].
Berkata Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h:
ونرى الدعاء لأئمة المسلمين بالصلاح والإقرار بإمامتهم وتضليل من رأى الخروج عليهم إذا ظهر منهم ترك الاستقامة
وندين بإنكار الخروج بالسيف وترك القتال في الفتنة
Maksudnya: “dan kami berkeyakinan wajibnya mendoakan kebaikan bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan kestabilan pemerintahan mereka serta menyesatkan sesiapa sahaja yang berpendapat bolehnya menderhaka kepada pemimpin yang zalim dan kami beriman haramnya memberontak dengan senjata dan kami beriman perlu meninggalkan berperang dalam fitnah”.[al-Ibanah, 1/11].
Jelas daripada kenyataan Imam al-Asy’ari ini, ASWJ bersepakat haramnya memberontak kepada pemerintah selama dia muslim dan beriman walaupun dia melakukan maksiat dan berlaku zalim.
Analoginya mudah, apabila ibu bapa kita melakukan maksiat atau menyuruh kita melakukan maksiat maka kita wajib mengingkari maksiat tersebut tetapi kita tidak boleh memutuskan nasab kita dengan mereka.
Imam Abu Jaafar al-Tahawi r.h menyatakan dalam kitab Aqidah beliau:
-”ولا نرى الخروج على أئمتنا وولاة أمورنا وإن جاروا ولا ندعو عليهم ولا ننزع يدا من طاعتهم ونرى طاعتهم من طاعة الله عز وجل فريضة، ما لم يأمروا بمعصية، وندعو لهم بالصلاح والمعافاة.”
Maksudnya: “dan kami tidak percaya sama sekali bolehnya keluar menetang pemerintah walaupun mereka berlaku zalim dan kami tidak akan mendoakan keburukan atas mereka dan tidak akan menderhaka pada mereka bahkan kami berpendapat mentaati mereka termasuk taat kepada Allah Azza wa Jall dan ianya fardu (wajib) selama mereka tidak menyuruh melakukan maksiat dan kami mendoakan bagi mereka kebaikan dan kemapunan”. [Syarah Tahaiwah min Kalam Ibn Taimiah, 85].


Contoh Ulama al-Salaf dalam Berhadapan Kezaliman Pemimpin
Imam Abu Hanifah r.h: Beliau telah dipenjarakan oleh Khalifah al-Mansur al-Abbasi hanya kerana tidak mahu menerima jawatan Qadi (Hakim). Abu Hanifah r.h tidak pernah sama sekali membenarkan kaum muslimin menentang atau memberontak terhadap al-Mansur sehingga beliau wafat dalam penjara.
Imam Malik bin Anas r.h: Di zaman beliau terdapat pemberontakan terhadap al-Mansur (yakni Khalifah al-Mansur yang menghukum Abu Hanifah tadi) kemudian pemberontak ini berjaya menawan Madinah dan dipaksa untuk membaiat pemimpin mereka. Imam Malik enggan menderhaka pada Khalifah dan sanggup diseksa walaupun diketahui al-Masnur seorang yang zalim.
Imam al-Syafii r.h: Beliau telah ditangkap dan ditahan tanpa usul periksa dan dituduh sebagai pemberontak oleh Khalifah Harun al-Rasyid r.h, namun Imam Syafii setelah dibebaskan tidak pernah berdendam dengan khalifah bahkan sentiasa mendoakan kebaikan buat beliau.
Imam Ahmad bin Hanbal r.h: Khalifah al-Makmun dan al-Muktasim telah menyiksa beliau kerana keengganan menurut perintah maksiat mereka mengatakan al-Qur’an makhluk. Namun, Imam Ahmad melarang para pengikutnya yakni ASWJ memberontak.
Kesimpulan
Apa yang di bentangkan ini semuanya berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukanlah berdasarkan hawa nafsu dan emosi. Nasihat untuk kaum muslimin yang di cintai sekalian untuk berpegang teguh dengan Manhaj ASWJ ini dalam semua aspek kehidupan mudah-mudahan kita berjaya dunia dan akhirat.
Ingatlah, Umat Muhammad yang diakhir zaman ini tidak akan berjaya melainkan mereka mengikut jejak langkah yang telah dilalui oleh pendahulu mereka yang soleh yang telah berjaya dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Thursday, April 2, 2009

Hak Persamaan Kaum (5)

Terdapat satu lagi ketidaksamaan bersifat perkauman di Amerika Syarikat yang jarang mendapat publisiti. Orang Red Indian Amerika banyak menderita sepertimana ketidaksamaan kaum terhadap orang-orang Negro, hanya kerana bilangan yang kecil dan hidup dipinggiran, kerendahan taraf mereka tidak diberikan perhatian. Yang peliknya, orang-orang Red Indians ini sebenarnya adalah rakyat peribumi di Amerika Syarikat. Tanah mereka sendiri dinafikan oleh orang lain, dan mereka dikecualikan juga daripada cukai tertentu. Secara sahnya hak istimewa mereka seharusnya lebih daripada warga Amerika Syarikat yang lain. Bagaimanapun, jauh daripada menjadi satu bangsa yang berhak di Amerika, mereka sebenarnya pariah. Satu pendapat biasa bagi orang putih Amerika bila ditanyakan tentang Orang Red Indian, ialah mereka (Orang India) tidak dapat dipulihkan, dan bahawa jika anda memberi mereka wang, mereka akan lebih suka membeli kereta Cadillac daripada memperbaiki diri mereka sendiri.
Bagaimanapun, jika seorang lelaki berkulit putih menang satu perjudian dia tidak akan semestinya segera memasuki dalam bidang perniagaan bagi mengukuhkan keuntungannya. Dia juga mungkin menggunakan kemenangannya itu pada kemewahan yang beliau impikan sebelum ini. Reaksi sebegini bukan sahaja bagi orang-orang Red Indian. Ini hanyalah reaksi manusia biasa. Apa yang kurang adalah adalah satu keinginan untuk membantu Orang Red Indian Amerika ini menyatupadukan diri dengan lain-lain masyarakat Amerika. Dengan kata lain, Orang Red Indian ini, walaupun mempunyai status hak istimewa, dianggap sebagai kurang bermutu dan tidak bernilai bagi menjadi sebahagian masyarakat Amerika.
Jika Orang Red Indian Amerika tidak bertindak ganas sepertimana orang-orang Negro, ia adalah kerana jumlah mereka adalah kecil dan kerana mereka hidup berselerak dan terpisah secara geografi serta berpuak-puak (suku kaum). Pelancong yang datang ke Amerika walaupun untuk berbulan lamanya akan mendapati sukar untuk menjumpai walau seorang pun orang Red Indian. Namun begitu kemarahan mereka tetap kelihatan. Buffy St Marie, seorang penyanyi Red Indian yang terkenal diseluruh Amerika Syarikat, menyanyikan lagu mengenai tanah mereka yang telah dirampas dari nenek moyangnya dan terfikir apa yang mereka miliki sekarang.

Wednesday, April 1, 2009

Hak Persamaan Kaum (4)

Yang nyata disini, undang-undang hak persamaan kaum sahaja adalah tidak memadai. Untuk mendapatkan makna persamaan kaum, adalah dengan berkongsi segala kebaikan didalam kehidupan demikian juga sifat tanggungjawab. Perkongsian didalam segala aspek kehidupan yang baik bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, tetapi hendaklah juga kepada seluruh warganegaranya itu. Dan niat itu juga haruslah dapat dilihat dan diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat. Orang-orang Amerika Syarikat dan kerajaannya sentiasa mengisytiharkan bahawa mereka tiada niat untuk merendahkan Negro sebagai bangsa yang lemah. Jika orang-orang Negro ini tidak dapat berkongsi kemakmuran di dalam negara, itu adalah kesalahan mereka sendiri. Tetapi meletakkan kesalahan itu keatas orang-orang Negro semata-mata adalah tidak benar dan tidak boleh diterima. Ia adalah pemulauan dari segi ekonomi dan sosial yang pernah, melalui generasi, jurang yang tidak dapat disambungkan antara orang-orang Negros dan orang kulit putih. Dan jurang itu semakin melebar, membuat satu penyelesaian kepada masalah itu semakin sukar dicapai sedangkan masa terus berlalu. Ia adalah tidak cukup dengan hanya mengatakan "Kami tidak mempunyai halangan, datang dan dapatkan ia, ini semua adalah anda punya jika anda sedia melakukan sepertimana yang kami lakukan". Kita tahu benar bahawa Negro itu tidak boleh merentasi lautan masa yang telah bergenerasi , mundur didalam ekonomi, sosial dan pendidikan hanya dengan mengatakan "Baiklah, kami akan ambil".
Kerajaan Amerika nampaknya menyedari tentang tanggungjawabnya untuk membantu orang-orang Negro merapatkan jurang perbezaan ini. Berjuta ringgit telah diperuntukkan dan projek-projek baru serta skim-skim telah dimulakan untuk memberi orang-orang Negro jenis lantihan yang perlu untuk memadankan mereka kepada kemakmuran ekonomi Amerika. Tetapi segala usaha Kerajaan ini akan gagal kecuali orang Amerika secara keseluruhannya berhenti untuk mendiskriminasikan orang-orang Negro ini. Para pekedai, kilang-kilang, pejabat-pejabat dan hotel mestilah menerima orang-orang Negro bagi semua peringkat pekerjaan. Dan yang lebih penting lagi, beberapa jenis elaun mestilah diberi khas untuk orang-orang Negro ini semasa tempoh mereka berkembang. Sebenarnya apakah yang lebih diperlukan bukan sekadar layanan seimbang malahan sebenarnya membuat apa saja yang perlu bagi tujuan menampung orang-orang Negro ini yang ketinggalan. Diskriminasi telah wujud sejak bergenerasi dimana jurang antara orang-orang Negro dan orang kulit putih amatlah jauh, maka proses pemulihan ini mestilah mengambil masa sebelum kesannya dapat dilihat. Sekiranya ini berlaku, maka persamaan kaum yang adil akan benar-benar wujud dan terjadi. Undang-undang persamaan kaum adalah tidak bermakna jika berhadapan dengan pemulauan sosial dan ekonomi yang dipraktikkan oleh sekumpulan kaum dalam keadaan yang bukan dibawah lingkungan undang-undang. Seseorang majikan yang menolak untuk menerima masuk pekerja Negro akan mengemukakan pelbagai alasan yang sahih untuk tidak menerima mereka ini. Jika Kerajaan dan masyarakat sanggup untuk menerima sebab ini sebagai suatu nilai semasa, maka ketidaksamaan bersifat perkauman akan berlaku, membawa kepada ketidakpuasan hati, kemarahan, rusuhan-rusuhan, pembakaran bangunan dan juga kematian. Kerajaan dan masyarakat perlulah bertegas bahawa langkah-langkah positif bagi mengintegrasi antara kaum amatlah perlu; sesungguhnya kedua-dua pihak perlu bertindak bagi menghapuskan ketidaksamaan ini dengan matlamat yang benar supaya satu cara menangkis daripada kesan dan akibat yang tidak dapat dielakkan pada masa akan datang. Pada dasarnya ini bermakna bahawa Kerajaan dan masyarakat bukan sekadar meneliti reaksi awam malahan reaksi pihak swasta juga perlu bagi memastikan hak persamaan kaum benar-benar diamalkan dan wujud. Seseorang pemilik tunggal kedai yang menggaji seorang pembantu kedai hendaklah juga disyaki mengamalkan diskriminasi kaum sebagaimana perindustrian besar yang mengambil ribuan pekerja. Dasar liberal di Amerika sesungguhnya bergerak ke arah ini, tetapi jumlah Rakyat Amerika yang liberal adalah tidak cukup untuk meninggalkan kesan menyeluruh terhadap negara itu.

Sunday, March 8, 2009

Keputusan Undian

Adakah Dato Sri Anwar Ibrahim pejuang melayu? Ya= 10 (10%) Tidak= 79 (85%) Tak tahu= 3 (3%) Votes : 92 Poll closed

Monday, March 2, 2009

Hak Persamaan Kaum (3)

Terdapat juga contoh diskriminasi sosial yang lain di Amerika Syarikat. Pengasingan secara ekonomi juga menyumbang kepada ketidaksamaan kaum di Amerika Syarikat sepertimana juga diskriminasi sosial dan ianya melibatkan banyak faktor. Jika ada sesiapa yang cuba menerangkan atau menjelaskan tentang diskriminasi ekonomi ini, mereka akan diterangkan dengan fakta ini bahawa ini bukanlah perkauman tetapi hanyalah semata-mata ekonomi. Orang Negro adalah tidak baik, kurang bijak, malas, tidak upaya dan tidak tahu menilai wang, untuk mendapatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan pendekatan dan idea baru. Tidak ada sesiapa yang akan mengambil mereka bekerja kecuali tidak dapat dielakkan. Untuk jangkamasa panjang, adalah murah untuk mendapatkan khidmat orang putih ini kerana hasil kerja mereka adalah lebih memuaskan dan taraf mereka juga tinggi. Dan kelihatannya seperti tidak ada keperluan dan kekurangan didalam peluang pekerjaan maka kemungkinan untuk mengambil pekerja dari kalangan orang Negro ini adalah tipis.
Persoalannya sekarang adalah, jika benar orang Negro ini tidak pandai bekerja didalam bidang-bidang tertentu, mengapakah mereka ini dibawa masuk ke Amerika Syarikat awal dulu? Kita semua tahu dan sedar bahawa orang-orang Negro ini dahulu diambil dari kawasan pendalaman hutan Afrika untuk bekerja di ladang-ladang dan rumah-rumah pendatang Inggeris di Amerika Syarikat. Mereka bukan sahaja pekerja yang bagus malahan juga pandai memasak dan menjadi pembantu rumah.
Hari ini, jika orang-orang Negro ini tidak cekap dan lembap, ini adalah kerana mereka telah diasingkan secara ekonomi dan sosial untuk beberapa generasi. Masa berlalu dan orang putih telah meningkat maju, berubah dari segi gaya kehidupan, menerima pendidikan yang sempurna dan memperolehi kemahiran-kemahiran yang baru didalam perubahan keadaan dari sebuah negara berasaskan pertanian kepada sebuah negara industri berteknologi tinggi. Sementara jurang perbezaan diantara orang-orang putih dan orang-orang Negro ini bertambah besar berkurun lamanya, kecenderungan untuk merapatkan jurang ini amatlah payah. Oleh kerana disebabkan mereka ini dikatakan kelihatannya kurang pengalaman dan ketidakupayaan didalam bersaing maka mereka ini diasingkan secara ekonomi dan ini menambahkan lagi penyebab jurang diantara orang putih dan orang Negro. Namun tidak dapat dinafikan segelintir orang-orang Negro berjaya mencapai satu perkembangan dan mereka inilah yang melihat dengan rasa marah terhadap komuniti, dan keinginan untuk memperbaiki kesilapan yang telah ditempoh selama beberapa generasi. Tanpa dapat dielakkan mereka ini mengambil pendekatan keganasan yang menggegarkan dunia politik. Rusuhan, membakar bangunan malahan juga pembunuhan sebagai maksud bagi mendapatkan hak persamaan kaum.

Hak Persamaan Kaum (2)

Dimana-mana negara yang mempunyai lebih dari satu kumpulan etnik kebudayaan, persoalan kepada persamaan kaum akan membentuk suatu isu yang amat penting. Semenjak tertubuhnya Malaysia, malahan sebelumpun daripada kemerdekaan pun, persoalan ini telah menjadi fokus utama yang penting serta menjadi pertengkaran ahli politik. Dua belas tahun kemerdekaan tidak mengurangkan sedikit pun kontrovesi politik dan perbandingan antara kaum yang membangkitkan kemarahan. Tragedi 13 May 1969 membawa masalah ini kepada umum. Sekarang dan seterusnya, ini adalah masa untuk benar-benar memahami secara terang dan jelas makna dan erti persamaan kaum di Malaysia.
Persamaan kaum merangkumi beberapa aspek dan aspek ini berbeza mengikut taraf dimana komuniti itu diterima. Untuk memahami makna persamaan kaum, adalah penting untuk kita menilai dari sudut aspek apakah ianya dinilaikan. Ini juga akan memperjelaskan lagi aspek ini dinilai mengikut aspek negara lain juga.
Amerika Syarikat adalah negara pertama yang akan disebut apabila isu ini dimainkan oleh kerana mereka inilah yang sering mewarwarkan tentang hak sama rata kepada dunia keseluruhannya. Di Amerika, semua penduduk, tanpa mengira warna, bangsa atau agama adalah sama disisi undang-undang. Bagaimanapun terdapat juga beberapa negeri didalamnya yang wujud diskriminasi tetapi Perlembagaan Persekutuan seperti yang dijelaskan oleh mahkamah bahawa orang Negro juga mempunyai hak sama rata (persamaan kaum) sebagaimana warganegara Amerika yang lain. Ketidaksaaman kaum di Amerika bukanlah dari segi diskriminasi undang-undang tetapi diasingkan atau ditolak dari segi sosial dan ekonomi. Persamaan kaum tetapi diasingkan dari segi sosial dan ekonomi ini adalah lebih teruk dan hina daripada ketidaksamaan kaum sebelum undang-undang itu wujud sekalipun.
Apakah kedudukan orang Negro di Amerika Syarikat? Seperti yang telah dinyatakan didalam Perlembagaan Amerika Syarikat dengan pindaan Ketigabelas, Empatbelas dan Limabelas, memberi status hak yang sama seperti warganegara yang lain di Amerika Syarikat. Penerangan dan penjelasan awal Perlembagaan pada mulanya agak berat sebelah namun keputusan Mahkamah Persekutuan telah menetapkan mengatasi hakim yang terlibat pada mulanya. Dengan ini tidak dapat dinafikan persamaan kaum telah wujud di Amerika Syarikat tanpa boleh diragui lagi. Jika ada pergolakkan dan rusuhan kaum di Amerika Syarikat ini bukanlah kerana diskriminasi tentang perlembagaan tetapi diskriminasi tentang tahap sosial dan ekonomi orang -orang Negro.
Diskriminasi terhadap sosial dan ekonomi memberi lebih kesan dan memalukan berbanding diskriminasi undang-undang. Roxbury di Boston misalnya, suku dari penduduk bandar itu adalah orang Negro, seperti juga mana-mana bandar di Amerika Syarikat. Apa yang membuatkan Roxbury seperti penempatan terpencil orang Negro adalah kerana diskriminasi secara senyap yang dibuat agar orang putih keluar dari mana-mana penempatan yang mana orang Negro mula memasukinya. Oleh yang demikian, sebaik sahaja orang Negro mampu untuk membeli rumah dikawasan bandar dan memasukinya, bilangan besar orang putih ini akan mengklasifikasikan tempat itu sebagai penempatan orang Negro. Bila sahaja tempat tinggal itu dikosongkan, orang putih tidak akan menduduki atau membeli tempat itu dan nilai harta disitu akan turun atau susut. Orang Negro yang kurang mampu akan memasuki tempat itu dan kawasan itu akan menjadi penempatan orang miskin. Apa yang menjadikan pengasingan ini berlaku dalah tidak lebih dan tidak bukan, pengasingan sosial. Di seluruh Amerika proses ini berlaku dan terus berkembang. Tidak ada undang-undang yang memaksa seseorang untuk kekal tinggal dimana sahaja mereka berhajat untuk mengosongkannya. Disana juga tidak ada ketetapan bagi memaksa orang putih untuk tinggal berdekatan dengan orang Negro. Pengasingan kaum dengan itu terus berlanjutan di Amerika Syarikat dan menyebabkan ketidaksamaan kaum berlaku walaupun adanya undang-undang persamaan kaum.