Thursday, February 12, 2009

Erti Mewarisi Perjuangan

Mukadimmah Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT, dengan limpah kurnia-Nya jua, dapat saya menulis lagi pada pagi ini. Sesungguhnya laman ini membawa pengertian yang mendalam, bukan sekadar satu pengkisahan sejarah, bahkan lebih penting lagi, penghayatan pemikiran yang dibawa oleh pemimpin kita yang terdahulu. Barangkali dalam tanggapan kebanyakan kita, lebih-lebih lagi generasi muda, UMNO telah gagal dalam perjuangannya. Namun, apakah perjuangan seseorang tokoh itu hanya wajar dinilai sebagai berjaya apabila ia memegang tampuk kekuasaan? Walhal, begitu ramai pemimpin Melayu muncul silih berganti, zaman-berzaman, mencurahkan bakti perjuangan dalam sejarah panjang pembentukan negara kita, yang bebas lagi merdeka ini. Peninggalan mungkin tidak jelas dan kurang konkrit kerana tidak mewariskan pusaka yang berupa kebendaan yang dapat kita lihat dengan mata kasar. Namun warisannya amat berharga dan tidak ternilai kerana meninggalkan idea kepimpinan dan inti perjuangan yang terus relevan, menjadi ikutan dan petunjuk kepada generasi demi generasi selepasnya. Sama ada kita sedari atau tidak, warisan perjuangan masih menjadi teras dan tetap kita perlukan, sebagai paksi yang menentukan arah serta hala tuju perjuangan bangsa Melayu. Kita juga jangan lupa, bahawa perjuangan pemimpin-pemimpin tersebut dibina di atas sokongan padu; keringat, darah dan air mata, pengorbanan seluruh lapisan rakyat Melayu, dari keturunan raja hinggalah kepada rakyat jelata. Maka, insaflah, bahawa kita adalah pewaris amanah dan penerus perjuangan. Perjuangan yang dibina atas semangat Agama Bangsa dan Tanahair. Marilah bersama-sama kita warisi amanah ini, kita teruskan perjuangan ini, bukan sahaja untuk 60 tahun dari sekarang, 60 tahun selepas itu, tetapi sehingga akhir zaman.

Intipati Perjuangan Kita teruskan perjuangan ini dengan semangat yang gigih, bermaruah, penuh rasa kebersamaan, permuafakatan, kesederhanaan, kesetiaan, keadilan, kebijaksanaan, kemajuan dan kejayaan umat Melayu dan rakyat Malaysia. Satu Jihad Semangat ini diikat dengan kekuatan agama, lalu ia jadi jihad kita, untuk bangsa dan tanah air. Inilah tuntutan agama kita. Ia diperkukuh dan diperteguh pula dengan kebijaksanaan pemimpin, memastikan wujudnya keadilan. Sudah terbukti semangat itu menjadikan kita berupaya bertahan sepanjang lebih dari 40 tahun lalu. Bukannya tidak ada cabaran, sebaliknya kita telah melalui liku-liku pahit getir perjuangan, namun tetap teguh, malah semakin kuat pada hari ini. Maka, semangat ini jugalah yang menentukan kelangsungan perjuangan kita. Kesetiaan Kepada Khalifah Oleh itu, marilah kita berikrar mencurahkan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada ketua-ketua dan dengan perpaduan yang utuh, memberi sokongan yang padu kepada Pemimpin dan Sultan selaku payung kepada bangsa kita untuk meneruskan perjuangan ini. Hari ini, terhakisnya kuasa Raja-Raja Melayu, lenyaplah kerajaan-kerajaan Melayu dan hilanglah identiti Melayu di buminya sendiri. Setiap negeri-negeri Melayu, yang asalnya terdiri daripada kerajaan-kerajaan Melayu dalam sistem pemerintahan Raja-Raja Melayu, dipecah perintah secara berasingan. Kerakyatan terbuka kepada semua orang, tidak kira siapa sahaja yang datang mahu bermastautin di negara ini. Pemimpin lama berhadapan dengan bermacam-macam dugaan, mengumpulkan kekuatan suara dan perpaduan orang Melayu tanpa mengenal jemu dan penat lelah, akhirnya membuahkan hasil yang dapat kita lihat hari ini. Mewarisi Perjuangan Oleh itu, kita orang Melayu, perlu mengakui bahawa perjuangan pemimpin lama itu, bukan sahaja memulakan langkah pertama, malah terus kita warisi dan amalkan sebagai sebuah pembela bangsa. Idea kenegaraan itu telah memulakan penyatuan orang Melayu dari segenap pelusuk semenanjung, tanpa mengira perbezaan latar belakang dan sempadan daerah sehingga ke hari ini. Itulah warisan yang kita nikmati hingga ke hari ini, yang menjadi penentu didalam perjuangan ini. Ia menjadi teras dalam setiap dasar dan pelan tindakan pembangunan, dalam setiap kepimpinan yang silih berganti hingga ke hari ini. Atas nama globalisasi, ada kecenderungan menuntut supaya semua orang menerima tanpa batas prinsip-prinsip sejagat sehingga menafikan idea perjuangan warisan kita. Kita perlu berani mengupas perbezaan idea ini, kerana kita sekarang berada dalam pertembungan idea. Jika kita tidak mempertegaskan perjuangan ini, menekankan inti kenegaraan yang sudah terang lagi jelas, barangkali ia akan mengubah konsep perjuangan itu sendiri. Oleh itu, kita tidak boleh leka mahupun alpa, atau terikut-ikut tanpa mengkaji dan menghalusi sebarang idea baru ini.

Sesungguhnya, apa pun idea baru atau idea lama dengan pendekatan baru, hendaklah kita sandarkan kepada idea perjuangan yang kita warisi selama ini. Kita sudahpun membuktikan bahawa idea perjuangan itu, tetap relevan dan menjadi perdu pencapaian kita selama ini. Bukankah idea perjuangan kita ini sudahpun berkesan dan kita nikmati bersamaselama ini? Sewajarnya kita berterima kasih kerana idea perjuangan itu telah menghasilkan formula yang memupuk perpaduan dikalangan kita, mencetus semangat nasionalisme, menggerak perpaduan, menebus maruah bangsa, dan kesejahteraan sosial. Maka, kitalah dan semua generasi akan datang adalah pewaris perjuangan idea perjuangan ini. Kita bukan sahaja mewarisi kepimpinan yang ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu, tetapi juga mewarisi perjuangannya. Kejayaan dan kebahagiaan yang kita tempa, ternyata membuktikan idea perjuangan ini amat kukuh, cukup mendalam, menepati keperluan dan berpandangan jauh. Akhir kata, diharapkan kita dapat mengupas idea-idea perjuangan ini dan pertembungan pendapat, yang mampu menghasilkan kesimpulan yang bermakna. Saya berharap generasi muda dapat menghayati idea perjuangan ini, sebagai bekalan dan pedoman untuk memahami erti mewarisi perjuangan, agar ia terus subur dan segar dalam menempa kemajuan masa depan. Dengan harapan tersebut saya sudahi dengan dua rangkap pantun enam kerat. Kain Pelikat Berbenang Bulu, Bubuh Belerang di atas Para, Ikan Gelama di Bakul Rotan; Enam Dekad Telah Berlalu, Semangat Juang Tetap Membara, Membela Agama Bangsa dan Watan. Menari Zapin Berkain Benang, Mari Alaskan Piala Gangsa, Bunga Rampai Di Dalam Taman; Jasa Pemimpin Wajar Di Kenang, Marilah Teruskan Perjuangan Bangsa,

Sehingga Sampai Ke Akhir Zaman.

2 comments:

  1. Salam, Azmi. Apa yang anda tulis di dalam blog itu semuanya betul. Saya setuju 100%.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Namun demikian saya masih lagi berharap agar tidak sentiasa menganggap pendirian saya adalah yang paling betul. Hanya mencari keredhaan Allah.

    ReplyDelete