Friday, February 13, 2009

Politik Dan Institusi Raja-Raja

Assalamualaikum. Senario politik yang berlaku di Perak hari ini bukanlah sekadar POLITIK. Ini adalah bakal sejarah yang mana hak orang melayu, Institusi Raja-Raja Melayu dan Kerajaan akan lumpuh atau musnah gara-gara kerakusan golongan mereka yang mengejar kuasa. Perlembagaan Persekutuan dijadikan landasan untuk memusnahkan institusi Raja-Raja kerana mereka menggunakan terma-terma yang berputar belit bagi menghalalkan agenda kekuasaan. Dengan slogan membela nasib orang melayu serta bagi membebaskan rakyat dari belenggu kedaifan, mereka ingin menjadi penyelamat bagi keadaan ini kononnya yang mana sebenarnya lebih kepada agenda peribadi. Persoalannya kini, siapakah dikalangan rakyat hari ini yang akan keluar sebagai penyelamat kepada kemelut politik, bangsa melayu dan institusi raja-raja kita? Didalam mendapatkan kuasa rakyat perlukah kita korbankan kuasa raja-raja pula? Apa pula akan terjadi sekiranya selepas dari ini, negara kita tidak mempunyai raja? Rakyat manakah yang paling layak untuk kita jadikan pemimpin yang tidak akan mementingkan diri mereka selain rakyat jelata? Akan adakah pemimpin yang sedemikian? Andaikanlah, Sultan Perak tersilap perhitungan kali ini, adakah ianya perlu pula bagi rakyat memusnahkan institusi raja-raja keseluruhannya di Malaysia ini. Jika Sultan Perak dihadapkan kemahkamah kerana kesilapan ini, implikasinya adalah keseluruhan institusi raja-raja di Malaysia itu sendiri. Malaysia bakal berdepan dengan kuasa asing dari luar sekiranya ini berlaku. Terlalu banyaknya berlaku kesilapan didalam pentadbiran Kerajaan hari ini maka Institusi Raja-Raja yang kini bagaikan telur dihujung tanduk pula yang menjadi pertaruhan. Saya masih lagi berpendapat, didalam situasi ini, AKTA ISA adalah penyelamat bagi meredakan ketegangan ini. Banyak pihak telah menggunakan hasutan bagi menaikkan kemarahan rakyat yang mana ramai dikalangannya tidak mendapat gambaran yang tepat tentang isu yang dimainkan. Ketegangan kaum bakal berlaku, begitu juga perbalahan sesama melayu yang kian menjadi-jadi. Pentadbiran Kerajaan yang sedia ada terlalu lemah sehingga banyak perkara yang benar disebelah mereka juga dapat digambarkan sebagai salah dimata rakyat. Sesuatu harus dilakukan. Mereka ini sama ada tidak tahu menggunakan sejata yang mereka ada ataupun tidak mahu menggunakannya. Pada hemat saya, mereka ini tidak tahu menggunakannya, malahan menggunakan benda yang salah sebagai senjata. Menyingkap sejarah Tanah Melayu itu sendiri membuktikan orang melayu kehilangan kuasa kerana perbalahan sesama sendiri dan pembelot-pembelot bangsa yang menjadi kuda dan juara bagi kepentingan orang asing. Masih ada ruang dan peluang bagi memperbaiki keadaan ini hanya sekiranya, Pentadbiran Kerajaan sedia ada tahu memanipulasi keadaan dan menggunakan senjata yang betul bagi memberi gambaran keadaan sebenar agenda-agenda mereka yang menentang tadi. Cabaran memang datang tetapi bagaimana menhadapi cabaran itu yang penting. Kajian keatas sikap orang melayu itu sendiri sebenarnya penting bagi menghadapi mereka ini, tetapi siapakah yang pernah memanfaatkan apa yang sebenarnya telah pun ada ketika ini untuk menggunakannya? Oleh itu, saranan saya ialah agar Pentadbiran Kerajaan sedia ada yang memiliki cerdik pandai dan para cendikiawan agar bukan sahaja setakat berfikir dan bercakap tetapi menggerakkan apa yang difikirkan dan dicakapkan itu. Agenda tanahair itu lebih penting dari mana-mana agenda yang sedang dirancang dan dilaksanakan waktu ini. Semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir dulu beliau telahpun membangunkan apa yang tidak sepatutnya kita bangunkan tetapi berjaya dicapai, iaitu kemajuan perindustrian dan rakyat. Hanyalah yang tinggal adalah kemajuan rohani yang perlu dilakukan oleh kerajaan ketika ini dengan tidak perlu menambah atau membaikpulih apa yang telah sedia ada ini. Kembalikan perasaan cintakan tanahair dan perasaan menghormati Institusi Raja-Raja yang mana adalah payung dan tonggak bangsa melayu. Janganlah dirosakkan pula apa yang telah dibina dan membina kerosakkan yang lain pula. Semoga bangsa melayu akan menjadi bangsa yang disegani bukan kerana kekuatannya tetapi kepintarannya. Wasalam. RAKYAT YANG CINTAKAN TANAHAIR DAN MENJUJUNG SULTAN AZMI MURID

1 comment:

  1. Salam, Azmi.
    Saya setuju 100peratus apa yang anda tuliskan.
    Orang melayu perlu sedar dan buka mata luas2 dan berfikir. Jangan suka mencari salah orang sahaja..Saya amat cintakan Negara ini tetapi takut apa yang akan terjadi pada masa akan datang kalau orang melayu tidak mahu berfikir dan asyik mencari salah orang sahaja. Diri sendiri punya salah tak nampak..Hidup Melayu..! Hidup BN..! Daulat Tuanku...!

    ReplyDelete